Pindaan usul RUU355: Hj Hadi MP Marang Gopoh (Jawapan kepada kekeliruan tulisan Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS) | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Selasa, November 29, 2016

Pindaan usul RUU355: Hj Hadi MP Marang Gopoh (Jawapan kepada kekeliruan tulisan Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS)

Begitulah pelahapnya Marang ketika itu. Bila sudah terlanjur. Nak u-turn tak gamak. Langgar tembok pun terpaksa la. Polemik yang berlaku adalah kerana tindakan PAS sendiri yang gopoh.

Oleh Zulhazmi Shariff

Pada 26 November 2016, Sdr Syed Ahmad Fadhli telah menulis “Catatan Khas : RUU 355, Mengapa Ditangguh Lagi Perbahasannya” ekoran penangguhan kali ke-2 usul Yang Berhormat Marang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Begitu panjang lebar catatan Sdr Syed. Begitu menarik tulisannya membela YB Marang dalam langkah sumbangnya pada 24/11/2016 yang lalu. Hari ini aku nak ulas, jawab dan bertanya sedikit di atas catatan tersebut.

Catatan Sdr Syed Ahmad seperti berikut yang mana aku akan ulas perenggan ke perenggan.
*Catatan Khas: RUU 355, Mengapa Ditangguh Lagi Perbahasannya.?*

1. Maaf, baru hari ini saya berkesempatan menulis catatan tertangguh ini kerana awal pagi Jumaat perlu menghantar Ummi dan Abah ke KLIA, kemudian terus bertolak pulang ke Rantau Panjang, Kelantan.

2. Sebagaimana yang dijanjikan, saya cuba merungkaikan beberapa kekeliruan berkenaan RUU 355 yang telah dibaca pindaan terhadap usul asal oleh Tuan Guru Presiden PAS (YB Marang) pada tengah hari Khamis, 24 November 2016.

3. Setulusnya, saya juga seperti ramai lagi yang di luar sana begitu berharap untuk melihat Tuan Guru Presiden PAS dapat berucap membentangkan RUU 355 kemudian ianya dapat dibahaskan secara matang dan akhirnya dibuat pengundian samada ia diterima ataupun ditolak secara demokrasi.

4. Namun, adatlah resam perjuangan bukannya mudah dan sesegera yang disangkakan. Rang Undang-Undang Ahli Persendirian bukanlah sama prosesnya seperti Rang Undang-Undang Kerajaan yang biasanya hanya melalui Bacaan Kali Pertama, Bacaan Kali Kedua dan Bacaan Kali Ketiga. Usul Rang Undang-Undang Ahli Persendirian YB Marang adalah yang pertama diberikan laluan oleh pihak Kerajaan untuk dibaca di dalam Dewan. Ianya amat jarang berlaku, maka tidak hairanlah agak ramai yang terkeliru dan kurang faham proses pelaksanaannya.

5. YB Tan Sri Speaker sendiri turut memberi penjelasan lanjut mengenai Rang Undang-Undang Ahli Persendirian.

Sila rujuk Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, No 49;
 (1) Dengan tertakluk kepada syarat-syarat dalam Perkara 67 dalam Perlembagaan siapa-siapa ahli yang bukan ahli Kerajaan yang hendak membawa Rang Undang-undang boleh meminta izin Majlis hendak berbuat demikian, dan ia hendaklah juga menyertakan bersama satu naskhah Rang Undang-undang berserta dengan huraian mengenai tujuan-tujuan dan sebab-sebabnya, tetapi tidak boleh mengandungi apa-apa hujah pada masa membawa Rang Undang-undang itu.

(2) Tiap-tiap permohonan demikian itu hendaklah dengan cara yang dikeluarkan usul, dan ahli yang mengeluarkan permohonan itu hendaklah juga menyampaikan kepada Setiausaha suatu salinan usulnya mengandungi nama Rang Undang-undang yang dicadangkan itu. Setiausaha hendaklah enggan menerima apa-apa permohonan yang tidak menepati kehendak Peraturan-peraturan Mesyuarat ini atau mana-mana undang-undang Persekutuan.

(3) Apabila diperkenankan permohonan itu setelah dikemukakan kepada mesyuarat dan disetujukan usul itu, maka Rang Undang-undang itu akan disifatkan telah dibacakan kali yang pertama dan diperintahkan dicap; dan satu salinan Rang Undang-undang itu hendaklah disampaikan kepada Setiausaha.

Proses yang telah dilalui oleh YB Marang ialah Peraturan 49 (1) dan 2. Ianya masih di peringkat usul yang belum dikira sebagai Bacaan Kali Pertama selagi mana ianya belum dibahaskan dan majoriti Ahli Dewan bersetuju seperti dalam Peraturan 49 (3).

6. Bayangkan, belum pun lagi usul Rang Undang-Undang Ahli Persendirian YB Marang ini dibahaskan, terdapat ramai pihak yang menentangnya termasuk Ahli Parlimen Bukan Islam. Yang lagi bermasalah apabila para pemimpin parti bukan Islam ini samada yang berada di dalam Kerajaan mahupun Pembangkang memberikan tekanan begitu kuat agar usul RUU 355 ini tidak dibentangkan langsung apatah lagi dibuat pengundian.

7. Hal ini menyebabkan polemik dan persepsi begitu buruk berlaku terhadap Usul RUU 355 yang berkaitan dengan Mahkamah Syariah yang hanya melibatkan orang Islam sahaja. Hal ehwal agama dan ummat Islam cuba dicampuri oleh pemimpin bukan Islam, seolah-olah kita memerlukan keizinan mereka dahulu untuk memperkasa undang-undang orang Islam. Dalam Sidang Media selepas bacaan usul pindaan, Tuan Guru Presiden PAS memberikan amaran kepada pemimpin bukan Islam ini supaya "Jangan berlagak seperti Gabenor Ahok di Jakarta", ayat ini diulang 2 kali oleh Tuan Guru yang turut mengisytiharkan Himpunan Aman Raksasa bagi menyatakan sokongan terhadap RUU 355 ini akan diadakan sebelum Sidang Parlimen Mac 2017.

*ULASAN AKU*

Keseluruhan tulisan Sdr Syed Ahmad di atas tiada apa yang baru kerana sebelum-sebelum ini aku sendiri telah berkali-kali menulis dan menghuraikan tentang Peraturan Mesyuarat 49. Masalah berlaku bukan hanya di kalangan masyarakat tetapi ada juga di kalangan Ahli Parlimen dari PAS sendiri yang tidak memahami Peraturan Mesyuarat 49 ini.

Contoh klasiknya ialah YB Temerloh. Di dalam suatu pertemuan tertutup antara Dr. Rozaimi dan wakil PAS di Hotel Seri Pasifik, dipersoalkan tentang isu kuasa yang terlalu luas atau selalu disebut sebagai “blank cheque”. YB Temerloh dalam penjelasannya mengatakan bahawa di peringkat usul tidak perlu diletakkan had kerana had hanya akan diletakkan apabila Kerajaan membentangkan pada Bacaan Kedua. Penjelasan YB Temerloh tersebut jelas bahawa beliau tidak faham Peraturan Mesyuarat sedang Peraturan Mesyuarat 49 (1) jelas menyatakan usul hendaklah disertakan naskhah rang undang-undang beserta huraian tentang tujuan rang undang-undang. Naskhah rang undang-undang itulah yang perlu diletakkan had bukannya membiarkan cek kosong.

Nah sekarang pada 23/11/2016 Marang sendiri telah meminda usul dan naskhah rang undang-undangnya meletakkan had iaitu penjara tidak melebihi 30 tahun, denda tidak melebihi RM100 ribu dan sebatan tidak melebihi 100 kali. Kenapa sebelum ini apabila ramai mempersoalkan tentang “cek kosong” itu, PAS pertahankan bahawa ianya tiada masalah tetapi sekarang PAS sendiri meminda mengisi “cek kosong” tersebut?

Nampaknya PAS yang tidak faham persoalan orang di luar tetapi memarahi pula pihak yang memberikan nasihat dan pandangan. Ada juga sehingga mengkafirkan orang lain hanya kerana pendapat tidak selari. Akhirnya PAS sendiri akui “cek kosong” itu perlu diisi. Ya, proses sekarang tidak sampai di tahap Bacaan Pertama kerana masih di peringkat usul. Ini juga aku telah huraikan panjang lebar sebelum ini.

Rujuk No. 6 dan 7. Tulisan tersebut jelas menunjukkan kegopohan Marang dan partinya. Masyarakat sememangnya tidak faham prosedur Dewan Rakyat tetapi malangnya ada juga Ahli Parlimen yang tidak faham. Kita bercakap tentang prosedur bukan tentang undang-undang. Kenapa tidak difahamkan masyarakat tentang prosedur dahulu? Masalahnya ialah pimpinan PAS sendiri ke hulu ke hilir membuat himpunan, wacana dan sebagainya menerangkan tentang keperluan meminda Akta 355 sahaja tetapi dari segi prosedurnya tidak.

Diterangkan Akta 355 tidak berkait dengan orang bukan Islam. Akta 355 sudah lama tidak dipinda sehingga bidangkuasanya lebih rendah dari Mahkamah Majistret Sivil. Akta 355 tiada kena mengena dengan hudud tetapi hanya hendak memperkasakan Mahkamah Syariah. Yang dibentangkan dan dicanangkan kepada ahli parti dan masyarakat ialah keperluan meminda bukan bagaimana pindaan hendak dibuat.

Sepatutnya jelaskan bahawa ini adalah usul atau cadangan daripada PAS kepada Kerajaan untuk Kerajaan pinda Akta 355. PAS tidak boleh meminda kerana PAS bukan Kerajaan. Hanya Kerajaan boleh pinda Akta. Apa yang dibuat oleh Marang dan PAS hanyalah hendak mendesak dan meminta Kerajaan meminda tetapi melalui Rang Undang-Undang Persendirian. Jelaskan bahawa sekarang hanya di peringkat usul. Jika tidak menyokong usul ini sekali pun, jika usul ini ditolak sekali pun, Kerajaan tetap boleh meminda Akta 355 kerana Akta hanya boleh dipinda oleh Kerajaan. Jika usul ini lulus sekali pun, Akta 355 tidak lagi dipinda jika Kerajaan tidak membawanya ke Parlimen untuk Bacaan Kedua.

Sebenarnya sudah lama Kerajaan berhasrat meminda Akta 355 ini. Jawatankuasa Teknikal dibentuk untuk mengkaji dan menasihatkan bagaimana Akta 355 hendak dipinda. Syor Jawatankuasa Teknikal ialah Kerajaan membawa pindaan tetapi Kerajaan mengelak dan melepaskan tanggungjawab itu kepada Marang dan PAS. Marang dan PAS pula seperti anak burung kelaparan, diumpan dengan cacing terus menangkap tanpa memikirkan cacing itu beracun.

Kerajaan sudah siap dengan deraf pindaan tetapi Kerajaan tidak bawa ke Parlimen. Deraf itu dihulurkan kepada PAS dan Marang terus menyambar dan membawa ke Parlimen tanpa diketahui sesiapa termasuk AJK PAS Pusat dan Ketua Whip Parlimen PAS sendiri. Begitulah pelahapnya Marang ketika itu. Bila sudah terlanjur. Nak u-turn tak gamak. Langgar tembok pun terpaksa la.

Polemik yang berlaku adalah kerana tindakan PAS sendiri yang gopoh. Melakukan tindakan yang mengelirukan masyarakat. Nak buat lain tapi cerita lain. Nak bentang usul tapi cerita nak pinda Akta. Kenapa marahkan orang atas kekeliruan yang PAS sendiri lakukan? Apa kena mengena isu usul Marang dengan isu Ahok di Jakarta? Bagi aku, Marang sepatutnya sedar bahawa dia sebenarnya seperti apa yang dikatakan oleh Ahok. Adakah Marang merasa pedas dengan kata-kata Ahok? Kalau tak makan cili takkan nak rasa pedasnya kan?

*****************************************************************

8. Mengapa pula usul RUU 355 dipinda daripada yang asal dibentang pada Mei 2016.?

Ini bagi memperincikan usul asal yang sering dijaja oleh pihak penentang bahawa ianya "blank cheque", ayat terlalu umum sehingga dikatakan memberi kuasa yang begitu luas kepada Mahkamah Syariah. Dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 pindaan 1984, had maksimum kuasa yang diberikan kepada Mahkamah Syariah ialah 3-5-6 (Penjara 3 tahun, Denda RM 5,000 dan Sebatan 6 kali). Dengan pindaan usul yang baru dibentang, had maksimum ini dicadangkan agar ditingkatkan kepada Penjara 30 tahun, Denda RM 100,000 dan Sebatan 100 kali mengikut tatacara jenayah Syariah.

Mungkin ada yang tidak tahu, bahawa hukuman penjara 30 tahun itu adalah bermakna Penjara Seumur Hidup selaras dengan Akta Keadilan Jenayah 1953 (Pindaan) 2007. Ianya berbeza dengan hukuman Penjara Sepanjang Hayat yang bermaksud si pesalah dipenjarakan sehinggalah dia mati.

*ULASAN AKU*

Tulisan Sdr Syed di nombor 8 ini sekali lagi jelas membuktikan bahawa PAS keliru. PAS keras kepala tetapi akhirnya apa? Selama ini ramai kalangan rakan-rakan yang mengkritik atau memberikan pandangan bahawa cadangan pindaan di dalam usul Marang terlalu luas. Isu “blank cheque” ini turut dipersoalkan oleh ramai orang termasuk Dr Rozaimi semasa pertemuan tertutup tapi jawapan PAS tetap sama.

Dato’ Takiyuddin Hassan Setiausaha Agung PAS menjawab bahawa cadangan pindaan tersebut sama seperti bidangkuasa Mahkamah Sesyen Sivil. Mahkamah Sesyen Sivil boleh membicarakan apa jua kesalahan melainkan hukuman mati. Beliau tegas mempertahankan cadangan tersebut.

Nah..... kenapa sekarang dipinda? Kenapa tidak pertahankan apa yang PAS lakukan sebelum ini? Kenapa tidak kekalkan “blank cheque” tersebut? Kenapa diisi “blank cheque”? Persoalan lainnya ialah siapa mengarahkan usul dipinda?? Adakah pindaan usul ini kehendak Marang sendiri atau diarahkan oleh Kerajaan? Ini kerana semasa taklimat oleh TPM dengan semua Ahli Parlimen Melayu-Islam di Parlimen pada Selasa 22/11/2016, TPM maklumkan bahawa usul Marang akan dibentangkan tetapi dengan pindaan. Bagaimana TPM boleh tahu akan ada pindaan dari Marang sedangkan pemberitahuan meminda usul hanya diserahkan kepada Setiausaha Dewan/Speaker pada Rabu?

Apa pun aku ucapkan TAHNIAH kepada PAS kerana akhirnya meminda juga. Akhirnya PAS akui bahawa cadangan asal mereka tidak tepat dan menimbulkan kekeliruan. Akhirnya PAS akui juga bahawa usul Marang itu cacat, tidak sempurna yang mengakibatkan banyak pihak tidak bersetuju. Tidak bersetuju bukan kerana menentang Islam tetapi kerana faktor cadangan pindaan yang longgar dan boleh disalahguna.

$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$

9. Agak hairan juga memikirkan mengapa pemimpin parti bukan Islam begitu risau akan pelaksanaan undang-undang Syariah ini yang tidak melibatkan mereka pun.? Adakah mereka takut seandainya syariat dilaksanakan, ramai pula orang bukan Islam tertarik dengan keindahan Islam. Sebatan 100 kali syariah itu bersifat mendidik, bukannya menyeksakan seperti sebatan sivil.

*ULASAN AKU*

Mengapa hairan? Banyak faktor mengapa pemimpin bukan Islam risau malah ada juga di kalangan yang Islam tidak bersetuju. Bagi bukan Islam, aku merasakan penolakan mereka suatu yang fitrah. Orang bukan Islam bukan mudah menerima tuntutan agama lain khususnya Islam. Itu fitrah. Jika bukan Islam boleh menerima Islam sepenuhnya, mereka semestinya akan menganut Islam. Tiada alasan mereka masih di dalam agama mereka jika mereka menerima syariat Islam. Mudah.

Tetapi penolakan mereka atas pelbagai isu. Ada antaranya melibatkan Perlembagaan. Ada yang lain melibatkan perasaan gerun dengan hukuman. Ada yang lain pula melihat kepada kemampuan Mahkamah Syariah untuk melaksanakan dengan baik. Di pihak lain melihat kepada konteks keseragaman undang-undang dan macam-macam lagi.

Contohnya sebelum usul dipinda, Mahkamah Syariah boleh membicarakan apa jua hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah kecuali hukuman mati. Kesalahan melibatkan hukuman sebatan 100 kali. Memang sebatan berapa kali sekali pun mengikut tatacara Islam tidak bertujuan mencenderakan pelaku jenayah tetapi bertujuan mendidik tetapi adakah ianya sudah siap sedia dilaksanakan. Dalam pertemuan tertutup antara kami dengan pimpinan PAS tempoh hari, Dato’ Khairuddin Aman Razali at-Takiri dengan jelas sebutkan bahawa sekarang Mahkamah Syariah khususnya di Terengganu masih menggunakan tatacara sivil dalam hukuman sebat. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah mesti mengikut kaedah syariah.

Dato’ Takiri sebutkan contoh kes Kartika di Pahang. Dalam kes Kartika, Mahkamah jatuhkan hukuman sebat 6 kali selepas beliau mengaku bersalah meminum arak. Katanya nasib baik Sultan Pahang ampunkan hukuman kerana jika Kartika disebat, maka akan berlaku kezaliman ke atas Kartika kerana sebatan dijalankan dengan tatacara sivil. APA??? Kegilaan apakah itu??

Maka mungkin pihak yang menolak cadangan pindaan Akta 355 yang dibawa melalui usul Marang merasakan selagi tatacara syariah tidak ada, maka pindaan yang dicadangkan oleh Marang tidak sesuai. Sekarang Marang pula meminda usulnya menghadkan sebatan sehingga 100 kali dengan cara yang ditadvir oleh Islam. Baru disebutkan oleh Marang dalam pindaan usul bahawa sebatan mengikut tatacara syariah sedangkan sebelum ini tiada. Adakah selesai isu ini hanya dengan menyebut dengan cara yang ditadbir mengikut tatacara jenayah syariah jika tatacaranya tidak ada di peringkat Mahkamah Syariah atau Jabatan Penjara tiada kaedah hukuman tersebut?

Persoalannya jika Akta 355 ini diluluskan pindaan seperti yang dicadangkan oleh Marang, ada pesalah dihukum sebat 80 kali, bagaimana kaedah sebatannya? Adakah mengikut kaedah syariah atau bagaimana? Bagaimana jika tatacara jenayah syariah masih belum ada di peringkat negeri? Apa jenis sebatan yang hendak dilaksanakan?

$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$

10. Semestinya Tuan Guru Presiden PAS ada sebab yang kukuh dan hikmahnya apabila memilih untuk berucap pada sesi sidang akan datang setelah melihatkan polemik tekanan dan tentangan keras pihak tertentu.
Ianya juga selaras dengan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat No 15;

"(5) Usul seseorang yang bukan ahli Kerajaan yang telah dicadangkan dalam sesuatu mesyuarat tetapi belum putus, apabila pencadangnya memberitahu hendak disambung dalam mesyuarat akan datang, hendaklah didahulukan daripada usul-usul lain yang hendak dibawa oleh ahli yang bukan ahli Kerajaan."

Begitu juga dengan tindakan beliau meminda usul agar bersifat lebih terperinci hukumannya setelah mempertimbangkan cadangan, teguran dan pandangan pelbagai pihak. Ini juga selaras dengan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat No 28;

"Jika seseorang ahli hendak mengubah isi-isi sesuatu usul yang terdiri dengan namanya, maka bolehlah diubahnya dengan menghantarkan kepada Setiausaha, satu pemberitahu meminda usulnya itu tetapi disyaratkan iaitu pindaan itu, pada timbangan Tuan Yang di-Pertua, tidak mengubah asas atau tujuan yang terkandung dalam usul itu pada perkara besar-besar. Pemberitahu meminda usul itu adalah mula-mula berjalan daripada masa pemberitahu usul mula-mula."

*ULASAN AKU*

Rujuk No. 10. – Aku merasakan Marang tiada sebab yang kukuh dan penuh hikmah selain daripada dia diarahkan sedemikian oleh Kerajaan atau lebih tepat lagi oleh Umno melalui Zahid Hamidi dan Jamil Khir. Semasa taklimat oleh Zahid Hamidi, Jamil Khir, Asyraf Wajdi dan Mufti Wilayah pada selasa 22/11/2016, Zahid Hamidi sendiri sebutkan bahawa Marang akan diberi peluang membentangkan usulnya pada Rabu 23/11/2016 atau Khamis 24/11/2016 tetapi tidak akan ada perbahasan dan pengundian. Zahid Hamidi sendiri sebutkan begitu. Malah Zahid Hamidi sebutkan bahawa Marang akan bentangkan usul dengan pindaan.

Apa maksudnya? Maksudnya kebenaran diberikan oleh Kerajaan untuk Marang bentangkan usul hanya dengan pindaan. Kerajaan tidak akan benarkan usul dibahaskan dan diundi. Hanya bentang dan kemudian tangguh ke sidang hadapan. Itu telah disusun atur oleh Kerajaan bukan kehendak Marang. Mengatakan bahawa tindakan Marang memilih untuk berucap pada sidang Mac 2017 adalah atas kehendak Marang yang kukuh dan penuh hikmah, itu pembohongan semata-mata. Sekali lagi kekeliruan cuba diwujudkan oleh PAS malah kali ini Sdr Syed turut terlibat mengelirukan dengan tulisannya.

Perlu diingat juga bahawa sebelum ini Timbalan Menteri Besar Kelantan dengan tegas sebutkan bahawa PAS telah bersedia untuk membentangkan usul. Marang telah dipersiapkan untuk membahaskan. Tetapi di saat akhir, Marang terpaksa menurut kehendak Kerajaan meminda usul.

Bila PAS siapkan pindaan usul dan pindaan naskhah rang undang-undang? Kenapa sebelum ini tiada pun kita dengar PAS sebutkan mereka akan meminda meletakkan had seperti itu? Kenapa tiba-tiba dibuat pindaan? Kenapa makluman pindaan usul hanya dimasukkan pada saat akhir? Ini semua permainan Kerajaan atau Umno terhadap Marang. Malangnya Marang terpaksa mengikut kerana jika tidak mengikut, usul beliau tidak akan dibenarkan dibentangkan.

Perlu diingat juga bahawa ini hanya di peringkat usul. Usul Marang meminta izin Dewan membenarkan beliau membawa Rang Undang-Undang Persendirian. Sepatutnya Marang menggunakan masa dan ruang yang ada pada 24/11/2016 itu untuk menghuraikan dan memahamkan semua Ahli Dewan mengapa beliau perlu diberi keizinan membawa rang undang-undang persendirian. Marang tidak perlu fahamkan orang ramai kerana orang ramai tidak berkuasa mengundi di Dewan Rakyat. Ahli Dewan yang perlu difahamkan. Gunakanlah ruang masa itu untuk memahamkan Ahli Dewan.

Masa tidak cukup kerana diganggu dengan usul serangan terhadap Shah Alam. Itu semua alasan bodoh sahaja. Sila periksa Penyata Rasmi Dewan Rakyat pada tarikh 24/11/2016 tersebut.

Pukul 11:30 pagi, Speaker Dewan menjemput Marang bentangkan usul pindaan.

Tuan Yang di-Pertua:
Peraturan Mesyuarat 28. Ahli-ahli Yang Berhormat, saya telah menerima satu pemberitahuan daripada Yang Berhormat Marang yang memohon untuk mengubah isi-isi di dalam usul rang undang-undang ahli persendirian bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 berdasarkan atas Peraturan Mesyuarat 28. Saya telah meneliti dan menimbang perkara ini dan saya mendapati pindaan yang dicadangkan tidak mengubah asas atau tujuan yang terkandung dalam usul tersebut. Ia adalah merupakan satu perincian kepada perkara asas dalam usul tersebut. Oleh yang demikian, saya menjemput Yang Berhormat Marang bagi membaca cadangan pindaan usul untuk makluman Dewan. Sila Yang Berhormat.

Kemudian Parit Buntar bangun memetik Peraturan Mesyuarat berkaitan serangan ke atas Shah Alam dan diberikan ruang oleh Speaker. Perbahasan berkaitan serangan ke atas Shah Alam sehingga jam 12:20 tengahari.

Speaker memanggil Marang bentangkan usul pada 12:20 tengahari dan Marang bacakan usul.

12.20 tgh.
Dato’ Seri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang]:

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, bahawa Dewan ini memberikan kebenaran menurut Peraturan Mesyuarat 49(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 28, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kepada Yang Berhormat bagi kawasan Marang untuk mencadangkan suatu Rang Undang-undang Ahli Persendirian bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 seperti berikut:-

Pindaan Seksyen 2 - Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, [Akta 355] dipinda dalam proviso kepada seksyen 2 dengan menggantikan perkataan “penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali” dengan perkataan “penjara selama tempoh melebihi 30 tahun atau denda melebihi RM100,000 atau sebatan 100 kali sebagaimana ditadbir selaras dengan tatacara jenayah syariah”.

Memandangkan pindaan ini memerlukan pemahaman yang jelas, walaupun sudah ada secara bertulis yang diedarkan namun masih ada lagi kekeliruan dan berbagai-bagai polemik di luar Dewan ini melibatkan semua pihak. Walaupun rang undang-undang ini khusus bagi penganut Islam sahaja, berkait dengan bidang kuasa Raja-raja, namun masih ada pertikaian dan perbahasan yang hangat maka saya pohon untuk membuat huraian pada sesi akan datang selaras dengan Peraturan Mesyuarat 15(5). Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua:

Terima kasih. Baiklah Yang Berhormat, saya izinkan usul ini disambung ke Mesyuarat akan datang. Ini Ahli-ahli Yang Berhormat sebagai makluman. Ini belum pun sampai kepada bacaan kali pertama. Belum pun sampai kepada bacaan kali pertama. Kalau kerajaan yang bawa usul untuk rang undangundang seperti begini, tidak pun dibahas, tidak pun disokong, cuma dia sebut sahaja title. Itu bacaan pertama. Yang ini cuma usul yang akan nanti dibincang.

Jika kita baca apa yang berlaku pada hari tersebut, Marang sendiri menyebutkan “Memandangkan pindaan ini memerlukan pemahaman yang jelas, walaupun sudah ada secara bertulis yang diedarkan namun masih ada lagi kekeliruan dan berbagai-bagai polemik di luar Dewan ini melibatkan semua pihak. Walaupun rang undang-undang ini khusus bagi penganut Islam sahaja, berkait dengan bidang kuasa Raja-raja, namun masih ada pertikaian dan perbahasan yang hangat maka saya pohon untuk membuat huraian pada sesi akan datang selaras dengan Peraturan Mesyuarat 15(5). Terima kasih. “

Beliau sebutkan walau pun sudah ada secara bertulis yang diedarkan namun masih ada lagi kekeliruan dan berbagai-bagai polemik di luar Dewan ini melibatkan semua pihak. Persoalannya kenapa dirisaukan polemik di luar Dewan sedangkan usul hanya akan diundi oleh Ahli Dewan? Kenapa Marang tidak huraikan pada hari tersebut berpandukan huraian bertulis yang diedarkan dalam Dewan? Kenapa memilih untuk minta ditangguhkan ke sidang hadapan? Jika alasan masa tidak cukup kerana sudah jam 12:20 tengahari sedang Dewan berehat pukul 1:00 tenghari, Marang boleh menyambung huraiannya pada waktu petang apabila Dewan bersambung pukul 2:30 petang. Ini bukan tidak pernah berlaku kerana semasa Marang membahaskan ucapan Bajet 2017, Marang juga terpaksa berhenti pukul 1:00 tengahari dan menyambung perbahasan pada pukul 2:30 petang. Kenapa Marang minta ditangguhkan terus dan tidak teruskan dengan huraian kepada Dewan?

Adakah kerana Marang sendiri tidak bersedia kerana pindaan usul di saat akhir dan pindaan bukan kehendak Marang tapi kehendak Kerajaan? Adakah Marang meminta ditangguhkan kerana pihak Kerajaan dan parti komponen BN sendiri tidak bersedia membahaskan dan memberikan keizinan kepada Marang? Jelas bahawa tindakan memohon penangguhan ke sidang depan bukan kerana hikmah tetapi kerana alasan lain.

$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$

11. Ada juga pihak yang terkeliru mengapa dalam pindaan usul terbaru ini menggunakan perkataan "melebihi", kata mereka sepatutnya perkataan "tidak melebihi".?

Jawapan penjelasannya mudah sahaja, apabila kita hendak meminda sesuatu undang-undang, usahlah dibaca hanya ayat pindaan. Rujuklah undang-undang asal, barulah tepat makna ayat untuk difahami.

Dalam Akta 355 yang asal ia berbunyi; "Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali." Anda tidak akan terkeliru sekiranya teks pindaan ini dibaca dengan ayat sebelum itu ""Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum."

*ULASAN AKU*

Sekali lagi isu kekeliruan dibangkitkan. Keliru kerana apa? Keliru disebabkan apa? Keliru kerana sekejap begini sekejap begitu. Dulu “blank cheque” sekarang cek terisi. Keliru kerana dulu ada cadangan Seksyen 2A tetapi sekarang meminda “proviso”. Kenapa dari awal tidak dipinda “proviso” itu sahaja? Kenapa dari awal dibuang terus proviso dan dimasukkan Seksyen 2A yang baru?? Marang dan PAS yang melakukan kekeliruan kemudian menyalahkan orang lain keliru.

$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$

12. Perjalanan ini masih jauh. Seandainya RUU 355 ini berjaya di peringkat Bacaan Kali Pertama nanti setelah ia dibahaskan dan mendapat sokongan simple majority, ia perlu melalui proses seterusnya seperti dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat no 49;

(4) Dengan tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 51, Rang Undang-undang itu hendaklah dicap dan dihantar kepada ahli-ahli dan dengan tidak dibahaskan, terserahlah Rang Undang-undang ini kepada Menteri yang berkenaan dengan perkara-perkara atau tugas-tugas yang terkandung dalam Rang Undang-undang itu atau, jika tiada Menteri yang berkenaan, maka terserahlah Rang Undang-undang itu kepada Menteri atau ahli yang dilantik oleh Tuan Yang di-Pertua, tidak boleh dijalankan apa-apa langkah atas Rang Undang-undang ini sehingga Majlis menerima penyata daripada Menteri atau ahli itu.

(5) Setelah diterima penyata yang disebutkan dalam perenggan yang lalu itu, maka Rang Undang-undang itu akan ditetapkan bagi dibacakan kali yang kedua pada hari yang dikehendaki oleh ahli yang menjaga Rang Undang-undang itu.

*ULASAN AKU*

Ya perjalanannya masih jauh dan sepatutnya PAS dan Marang tidak bermain dengan isu ini. Kita perhatikan apa yang diungkapkan oleh Speaker pada hari tersebut semasa mengizinkan Marang membuat penangguhan. Apa kata Speaker? Rujuk Penyata Rasmi Dewan Rakyat.

Tuan Yang di-Pertua : Terima kasih. Baiklah Yang Berhormat, saya izinkan usul ini disambung ke Mesyuarat akan datang. Ini Ahli-ahli Yang Berhormat sebagai makluman. Ini belum pun sampai kepada bacaan kali pertama. Belum pun sampai kepada bacaan kali pertama. Kalau kerajaan yang bawa usul untuk rang undangundang seperti begini, tidak pun dibahas, tidak pun disokong, cuma dia sebut sahaja title. Itu bacaan pertama. Yang ini cuma usul yang akan nanti dibincang.

Speaker sebutkan bahawa “Kalau kerajaan yang bawa usul untuk rang undang-undang seperti begini, tidak pun dibahas, tidak pun disokong, cuma dia sebut sahaja title. Itu bacaan pertama”. Sekarang apabila Marang yang bawa usul, usul perlu dibahaskan dan diundi. Jika lulus usul, baru dianggap Bacaan Pertama. Bacaan Kedua adalah kuasa Kerajaan. Kenapa perlu bersusah payah melalui semua ini, menyebabkan kekeliruan dan polemik di kalangan masyarakat, menimbulkan kegelisahan dan permusuhan hanya kerana suatu usul. Tidakkah lebih baik jika pindaan ini dibawa oleh Kerajaan kerana jika Kerajaan membawa, ia terus dianggap sebagai Bacaan Pertama. Tidak perlu polemik, tidak perlu kekeliruan dan sebagainya. Kenapa Marang dan PAS yang menggila berusaha sedangkan belum tentu Kerajaan akan menyambut pada Bacaan Kedua.

Apa yang akan berlaku jika usul diluluskan dan kemudian Kerajaan tidak bawa untuk Bacaan Kedua?? Apa PAS dan Marang hendak lakukan? Setelah bersusah payah tiba-tiba tiada apa berlaku. PAS berpecah belah, pembangkang berpecah belah, masyarakat bertelingkah, yang untungnya Umno/BN. Yang dilihat buruk itu Islam. Adakah itu yang PAS mahukan?

Hari ini 29/11/2016 Najib Tun Razak jelaskan bahawa Usul Marang tiada kena mengena dengan hudud. Haaaaaa jika tiada kena mengena kenapa Kerajaan Najib tidak bawa ke Parlimen sebaliknya memberikan kepada Marang??

$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$

13. Semoga catatan ini serba sedikit dapat membantu memperjelaskan apa yang samar, menerangkan apa yang kelam. Selebihnya, kita nantikan penjelasan yang lebih lanjut oleh Tuan Guru Presiden PAS sendiri dan Dato' Setiausaha Agung PAS yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen PAS.

Catatan oleh;
Syed Ahmad Fadhli,
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS,
Sabtu, 26 November 2016,
Rantau Panjang, Kelantan.

Diulas oleh Zulhazmi Shariff pada 29/11/2016

Nota kaki makan cekam:  Tanpa memang prejudis

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...